Friday 3 February 2012

Sri kandi: Asma’ binti Abu Bakar

Wanita yang sanggup berkorban

Asma’ binti Abu Bakar dikenali sebagai wanita besi yang berumur panjang. Nama wanita ini pendek sahaja, tetapi perjalanan hidupnya tidak seringkas seperti namanya. ALLAH SWT memberinya umur panjang dan kecerdasan berfikir sehingga dia dapat mewarnai perjalanan hidup generasi tabiin (pengikut Rasulullah) dengan kehidupan pada zaman Rasulullah.

Asma’ termasuk kelompok wanita yang pertama memeluk Islam. Permulaan Asma’ tidak boleh dipisahkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah dan ayahnya Abu Bakar. Dialah yang mengirimkan bekalan makanan dan minuman kepada mereka. Lantaran peristiwa inilah, Asma’ digelar sebagai “dzatun nithaqain” yang bermaksud wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.

Gelaran ini diberikan ketika Asma’ hendak mengikat karung makanan dan tempat minuman yang akan dikirim kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Pada waktu itu, Asma’ tidak memiliki tali untuk mengikatnya. Maka dia memotong ikat pinggangnya menjadi dua. Satu mengikat karung makanan dan satu lagi mengikat tempat air minum. Ketika Rasulullah mengetahui hal ini, baginda berdoa semoga ALLAH akan menggantikan ikat pinggang Asma’ dengan dua ikat pinggang yang lebih baik dan indah di syurga.

Tidak hanya itu pengorbanan Asma’. Peristiwa hijrah ini turut menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki oleh seorang muslimah hasil daripada aktiviti politik dan kecemerlangan berfikir yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma’ bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh terhadap kaum Muslimin.

Ketika itu Asma’ hamil dan beliau sebenarnya mengambil risiko yang turut membahayakan nyawanya. Beliau bukan sahaja mempertaruhkan nyawanya, malah lebih daripada itu nyawa Rasulullah saw dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan kemarahan musuh Islam lantaran Rasulullah terlepas daripada kepungan orang Quraisy pastinya berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya.

Di saat-saat genting seperti itu, Asma’ mampu meramal segala kemungkinan yang bakal berlaku dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakkan itu belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani sekalipun kerana ia bakal mengundang bahaya, kezaliman, dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.

Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke Madinah, Asma’ dan keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar pipi Asma’ dengan sekali tamparan yang mengakibatkan subangnya jatuh. Asma’ menjawab dengan penuh diplomasi disaat beliau ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya dengan berkata, “demi ALLAH, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!”.

Hijrah Asma’ dan suaminya, Zubir bin Awwam ke Madinah berlaku ketika Asma’ sedang sarat mengandungkan Abdullah bin Zubir dan hanya menantikan detik-detik kelahiranya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba’. Kelahiran anak pasangan sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah bayi pertama yang dilahirkan di Madinah. Asma’ wafat di Makkah ketika berusia 100 tahun, pada ketika itu gignya kuat dan akalnya masih sempurna.

allahumma yusahhil alaik, sahabat sahabiah ku semoga kalian bertambah cinta kepada Islam. sesungguhnya banyak cerita tentang sri kandi Islama yang harus dan mesti kita banggakan. jaga diri dan iman baik-baik ye. SAYANG ALLAH! Assalamualaikum =)

No comments:

Post a Comment