Wednesday 1 February 2012

Sri kandi : Zinnirah

Diseksa tidak mengubah pendirian Zinnirah

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh ALLAH untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah ALLAH pada peringkat awal dakwah Rasulullah saw iaitu sewaktu baginda berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan pertama memeluk islam inilah yang banyak menerima ujian daripada ALLAH. Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Rasulullah saw memulakan dakwahnya secara  sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu terutamanya mereka yang berada pada golongan bawahan. Antara yang menerima cahaya keimanan ini ialah Zinnirah. Beliau telah menerima cahaya  Islam dengan sepenuh hatinya. Pada peringkat awal keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan Islam secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui tuannya Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca al-Quran dan berdoa kepada ALLAH dengan penuh syahdu dan keinsafan. Pun begitu, semua dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui tentang keislamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya itu telah meninggalkan agama nenek moyang dan menerima tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah dan agama Islam sebelum beliau memeluk agama Islam. Beliau selalu mencerca Nabi Muhammad saw. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sifat berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah mendorong Rasulullah saw berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum Muslimin. Teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan ajaran Islam.  Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan ,hentakan, sepak terajang, di jemur di tengah panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan ALLAH SWT. Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas sehigga buta. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Walaupun matanya buta tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.

“ini untukmu, YA ALLAH. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menanggih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.” Inilah rintihan hati Zinnirah kepada ALLAH SWT ketika bermunajat kepada ALLAH disetiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi.

Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh. Pengorbanan zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan ALLAH mengizinkan ianya berlaku. Walupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada ALLAH tidak berubah. ALLAH memberi rahmat kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan kehendak ALLAH SWT. 

Yang baik di ambil teladan, yang buruk sama-sama kita perbetulkan. insyaALLAH ya sahabat-sahabiahku. jaga diri dan iman baik-baik. SAYANG ALLAH! Assalamualaikum =)

No comments:

Post a Comment