Tuesday 31 January 2012

Sri kandi: SAIDATINA KHADIJAH KHUWALID

KHADIJAH penyuntik semangat RASULULLAH s.a.w



sebaik-baik wanita di semesta alam ada empat, iaitu Asiyah isteri Firaun, Maryam puteri Imran, Khadijah binti Khuwalid dan Fatimah binti Muhammad “ – HR. Bukhari dan Tirmidzi
Siti Khadijah binti Khuwalid adalah isteri kesayangan Rasulullah s.a.w.  Walaupun umur mereka jauh berbeza, namun jodoh telah menemukan baginda dengan wanita mulia ini. Rasulullah s.a.w mengahwini Saidatina Khadijah bukan keran status sosialnya yang tinggi, terkenal sebagai seorang hartawan lagi dermawan tetapi adalah sifat Saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak mulia.

Siti Khadijah binti Khuwalid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai adalah dari golongan pembesar Makkah. Beliau bertemu jodoh dengan Nabi Muhammad s.a.w ketika berumur 40 tahun, manakala Nabi Muhammad pada ketika itu baru sahaja berumur 25 tahun. Khadijah merupakan perempuan kaya dan terkenal dan beliau boleh hidup mewah dengan hartanya sendiri. Meskipun memiliki kekayaan yang melimpah ruah, namun Khadijah merasa kehidupannya sepi tanpa suami.

Pada suatu hari, saat pagi buta, dengan penuh kegembiraan beliau pergi ke rumah bapa saudaranya, iaitu Waraqah bin Naufal. Khadijah berkata “ malam tadi aku bermimpi sangat menakjubkan. Aku lihat matahari berputar-putar di atas kota Makkah, lalu turun kea rah bumi. Ia semakin mendekat dan semakin mendekat. Aku terus memperhatikannya untuk melihat ke mana ia turun. Ternyata ia turun dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu membuatku terperangah. Lalu aku terbangun dari tidurku “.

Waraqah mengatakan, “ aku sampaikan berita gembira kepadamu, bahawa seorang lelaki agung dan mulia akan datang meminangmu. Ia memiliki kedudukan penting dan kemahsyuran yang semakin hari semakin meningkat. “

Tak lama kemudian Khadijah ditakdirkan menjadi isteri Rasulullah, Muhammad bin Abdullah. Ketika itu Muhammad masih muda dan dikenali pemuda yang lurus dan jujur. Tetapi yang lebih banyak menarik perhatian Khadijah ialah kemuliaan jiwa Muhammad s.a.w. Khadihahlah yang terlebih dahulu mengajukan permohonan untuk menikah dengan Muhammad. Semua itu berlaku dengan usaha orang tengah iaitu Nafisah binti Munyah dan peminangan dibuat melalui bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib. Walaupun keluarga terdekat Khadijah tidak bersetuju dengan pernikahan ini, namun Khadijah tidak dapat menolaknya lantaran sudah tertarik dengan kejujuran, kemuliaan hati dan sifat-sifat istimewa Nabi Islam ini, sehingga beliau tidak memperdulikan segala kritikan dan kencaman daripada keluarga dan kerabatnya. Khadijah yang juga seorang yang cerdas pernah mengatakan, “jika segala kenikmatan hidupdiserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para Raja Iran dan Romawi diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersamamu, maka semua itu bagiku tak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk”.

Mengakui kenabian suaminya, dan wanita pertama yang memeluk serta menerima Islam. Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah s.a.w ,Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira’, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluaan. Seandainya Rasulullah s.a.w agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamtan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat,beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganaiyaan yang dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah s.a.w, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wudhuk.

Saidatina Khadijah juga adalah seorang wanita yang berfikiran tajam, sabar, berpandangan, benar-benar memahami keadaan suaminya. Beliau sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada ALLAH SWT. Pendek kata, dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik, iaitu wanita yang subur dengan kasih sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu Al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum, dan Fatimah.

Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy. Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh Khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah saw. Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu ALLAH SWT telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.
Sebagai seorang isteri, Khadijahlah menyiapkan sebuah rumah yang sempurna bagi Nabi saw. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolongnya dengan jiwa, harta dan keluarga. Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.

Rasulullah saw bersabda, “kenapa kita bersusah payah mencari teladan di sana sini, padahal dihapan kita ada ‘wanita terbaik di dunia’ ”. Khadijah binti Khuwalid, Ummul Mu’minin yang setia dan taat, sentiasa baik dan mesra dengan suami dan sering membantunya sebelum dilantik menjadi Nabi. Dengan itu, ALLAH SWT membalas jasa beliau terhadap agama dan NabiNYA dengan sebaik-baik balasan dan memberinya kesenangan dan kenikmatan di dalam istananya, sebagaimana yang diceritakan Nabi saw semasa hayatnya.

Ketika Jibril A.S datang kepada Nabi saw dia berkata “wahai Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya dari Tuhannya dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang tiada keributan di dalamnya dan tidak ada kepayahan.”- (HR Bukhari) Imam Adz-Dzahabi berkata, “kesahihannya telah diakui”.
Bukankah istana itu lebih baik daripada istana-istana di dunia. Hai orang-orang yang terpedaya oleh dunia, Khadijah r.a adalah wanita pertama yang bergabung dengan rombongan orang mu’min iaitu orang yang pertama yang beriman kepada ALLAH di bumi sesudah Rasulullah. Khadijah membawa panji bersama Rasulullah saw sejak saat petama, berjihad dan bekerja keras. Beliau menghabiskan kekayaanya dan memusuhi kaumnya. Beliau berdiri di belakang suami dan Nabinya sehingga nafas terakhir, dan patut menjadi teladan tertinggi bagi para wanita.

Sesungguhnya Siti Khadijah adalah seorang wanita yang mulia dan kedudukan yang diperolehinya tidak mungkin sepertimana diantara para sahabat yang terdahulu dan pertama masuk Islam serta Khulafa Ar-Rasyidin. Khadijah mendampingi Nabi saw selama seperempat abad, berbuat baik kepadanya di saat baginda gelisah, menolongnya di waktu-waktu yang sulit, membantunya dalam menyampaikan risalahnya, ikut serta merasakan penderitaan yang pahit saat jihad dan menolongnya dengan jiwa dan hartanya. Siti Khadijah telah hidup bersama-sama Nabi Muhammad saw selama 24 tahun dan wafat dalam usia 64 tahun 6 bulan.

Walaupun beliau telah tiada, namun jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau tetap menjadi ingatan dan teladan kepada seluruh umat islam di seluruh dunia. Namun yang pasti, pengorbanan Siti Khadijah terhadap suami tercinta, Rasulullah saw memang tiada tandingannya.

yang baik diambil sebagai pengajaran wahai sahabat-sahabiahku, yang buruk dijauhi. jaga diri dan iman baik-baik. semoga dalam lindungan ALLAH senantiasa. SAYANG ALLAH! Assalamualaikum =)

No comments:

Post a Comment